Warga Israel Mengaku Salah Miliki 6 Senjata Api, 200 Peluru Kena Penjara 7 Tahun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap lelaki warga Israel, Avitan Shalom atas dua kesalahan memiliki 200 butir peluru dan enam laras senjata api, tahun lalu.

Terdahulu Avitan, 39, mengaku salah semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang, hari ini.

Hakim memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh ditangkap pada 28 Mac 2024.

“Selepas mengambil kira pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap.

“Barang milik tertuduh iaitu pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit tertuduh diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, lelaki itu didakwa memiliki enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara jam 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac 2024.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki warga asing meminta seorang kakitangan hotel tempatnya menginap supaya membuang sampah pukul 6 petang, hari kejadian.

Selepas mengeluarkan barangan dalam beg tersebut, kakitangan berkenaan bersama penyelia keselamatan hotel selaku pengadu kes, menemukan satu iPad, dua kotak beg simpanan pistol, beberapa sarung tangan dan stoking.

Pengadu mendapati dua kotak beg simpanan pistol tersebut mempunyai penerangan mengenai penggunaan senjata beserta gambar pistol jenama ‘Glock’ dan ‘Kuzey’.

Pengadu kemudiannya diarahkan oleh pegawai atasannya untuk membuat laporan polis.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata, pihak pembelaan telah mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Februari lalu.

Berdasarkan dokumen tersebut, beliau berkata, tertuduh bersedia untuk menjalani hukuman penjara maksimum atas pertuduhan pilihan.

“Susulan itu, pada 20 Februari lalu, AGC telah membalas representasi tersebut dan bersetuju dengan representasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan mengesahkan telah menghantar representasi ketiga itu.

Menurut peguam, anak guamnya yang merupakan pemilik syarikat pembekalan perubatan, syarikat hartanah, dan syarikat mata wang kripto Bitcoin di New York, Amerika Syarikat, perlu menyara isteri yang juga seorang suri rumah serta tiga anak mereka yang berusia 16, 10, dan sembilan tahun di Israel.

BBerkaitan

Latest articles