Ketagihan Judi Dalam Talian Ancaman Serius Kepada Masyarakat

KANGAR — Ketagihan judi dalam talian kini menjadi ancaman serius kepada masyarakat, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan janji pulangan yang lumayan.

Tidak mengira kawasan, sama ada penduduk bandar mahupun luar bandar, ketagihan bermain judi ini turut dilaporkan berlaku di hampir setiap lokasi, lebih-lebih lagi dengan jaringan liputan internet yang meluas serta kemudahan peranti telefon pintar yang kini mampu dimiliki oleh orang ramai.

Menurut Wan Zamarizal Wan Zainun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Kampung Kota, Perlis, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pemilik nombor telefon yang dikenal pasti sebagai scammer dan penipu dalam talian.

“Ada sindiket yang berani meletakkan nombor telefon secara terbuka di papan tanda dan ruang media sosial untuk mempromosikan aktiviti tidak bermoral seperti judi ini,” tegas Wan Zamarizal.

Tambah beliau, ketagihan judi dalam talian boleh membawa kerosakan besar dalam masyarakat, termasuk pergaduhan keluarga akibat masalah kewangan dan keruntuhan moral apabila seseorang hilang kewarasan dalam mengejar ganjaran yang belum pasti.

Lebih membimbangkan, ketagihan ini juga dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah kecil seperti kecurian dan penipuan dalam kalangan individu yang terdesak mendapatkan wang untuk berjudi.

Tindakan Tegas dan Langkah Pencegahan

Untuk rekod, sejak 2022 hingga 1 Februari 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat sebanyak 5,026 laman web judi dalam talian serta menurunkan 224,403 kandungan berkaitan judi tersebut.

Bagi mengatasi ancaman ini, Wan Zamarizal turut mencadangkan agar SKMM menyekat aplikasi judi dalam talian serta menyebarkan maklumat tentang rangkaian judi dan taktik penipuan yang digunakan sindiket. “Saya dan penduduk di Taman Masmuda Utama, Bintong, akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan judi dalam talian ini lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Jelas beliau lagi, program kesedaran masyarakat juga perlu dipertingkatkan, terutamanya di peringkat sekolah dan komuniti. Pendidikan mengenai bahaya judi dalam talian dan kesan buruknya terhadap kehidupan sosial dan kewangan perlu diperluaskan melalui kempen media, ceramah komuniti, serta kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Perlesenan Media Sosial: Langkah Proaktif

Mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa, melalui SKMM yang kini turut mewajibkan perlesenan media sosial mulai awal tahun 2025, Wan Zamarizal berkata langkah ini adalah tindakan proaktif untuk mencegah masyarakat daripada terjebak dengan sindiket judi dalam talian.

Dengan perlesenan ini, pemilik akaun media sosial akan lebih bertanggungjawab dan berakauntabiliti, sekali gus mengurangkan penyebaran iklan-iklan judi yang sering muncul di platform media sosial.

Katanya, melalui semakan, statistik Polis Perlis menunjukkan sejumlah RM42,619 wang judi telah dirampas sepanjang tahun 2023 hingga Ogos 2024, dengan RM27,378 dirampas pada 2023 dan RM15,241 lagi dirampas sehingga Ogos 2024.

Angka ini membuktikan bahawa aktiviti judi dalam talian masih berleluasa dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak untuk membanterasnya secara menyeluruh.

Malah jelas  Wan Zamarizal  lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebutkan bahawa perjudian adalah antara punca utama ketidakstabilan sosial, dengan peningkatan kes muflis, jenayah, dan keruntuhan institusi keluarga.

“Larangan terhadap umat Islam mesti lebih ketat, dan sebarang bentuk penglibatan dalam perjudian perlu dihukum dengan tindakan undang-undang yang berat,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles