Kanak-kanak 19 Bulan Hilang, Unit K9 Dikerah Bantu Pencarian

KUALA LUMPUR:Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah kini diperluas dengan bantuan dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, berkata anjing pengesan itu dijangka tiba di lokasi sekitar jam 3 petang bagi membantu mengesan mangsa.

“Dua anjing ini berpengalaman dalam mengesan individu yang hilang dan diharapkan dapat memberi petunjuk baharu dalam pencarian. Setakat ini, operasi telah meliputi radius dua kilometer dari rumah keluarga mangsa, namun masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pencarian tertumpu di sekitar kawasan rumah mangsa, termasuk hutan berhampiran, tetapi memberi keutamaan kepada sebuah parit di hadapan rumah nenek kanak-kanak tersebut.

“Ini kerana ibu mangsa sering membawanya bermain di kawasan parit tersebut, namun kami juga tidak menolak kemungkinan dia memasuki kawasan hutan berhampiran,” tambahnya.

Operasi SAR melibatkan 20 pegawai dan anggota BBP Tanah Merah, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Cuaca yang sesekali hujan menjadi cabaran dalam operasi, namun pencarian tetap diteruskan.

Sebelum ini, kanak-kanak tersebut, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, dilaporkan hilang sekitar jam 7.20 malam tadi selepas ahli keluarga menyedari dia tiada di dalam rumah.

Menurut ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, sebelum kejadian, ibu Hud memberi anaknya makan sebelum masuk ke dapur.

Kehilangan Hud hanya disedari apabila seorang saudara yang datang ke rumah bertanya keberadaannya.

BBerkaitan

Latest articles