KUALA LUMPUR: Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam bersetuju menangguhkan Perintah Bertangguh terhadap pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang rakyat Malaysia, Hamzah Ibrahim, yang dijadualkan menjalani hukuman gantung esok berkaitan kes dadah.
Peguam M. Ravi mengesahkan perkembangan itu dalam satu kenyataan di media sosial, menyatakan kelegaannya atas keputusan tersebut.
“Saya sangat lega apabila mengetahui bahawa Presiden Singapura telah mengeluarkan Perintah Bertangguh, yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati untuk Hamzah, yang dijadualkan pada hari Rabu,” katanya.
Merujuk kepada penangguhan hukuman terhadap Hamzah serta seorang lagi rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, Ravi turut menggesa kerajaan Singapura untuk meneliti semula semua hukuman mati di negara itu.
“Saya dengan rendah hati menggesa agar kerajaan baharu selepas pilihan raya umum akan datang mempertimbangkan semakan terhadap semua hukuman mati. Saya juga bersedia membantu sekiranya sebuah Jawatankuasa Parlimen dibentuk bagi menangani isu ini,” tambahnya.
Ravi sebelum ini telah menghantar petisyen pengampunan kepada Presiden Singapura dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan Hamzah.
Lelaki itu dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 26 Februari atas kesalahan berkaitan dadah.
Menurut Ravi, Hamzah telah memperoleh Sijil Bantuan Substantial (CSA) daripada pihak berkuasa, yang menunjukkan kerjasamanya dalam menangani sindiket dadah.
Beliau berpendapat bahawa Hamzah wajar diberikan pengampunan atas pertolongannya.
Dalam kes berasingan, Pannir Selvam Pranthaman yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan penyeludupan dadah sebelum ini turut mendapat penangguhan hukuman pada saat akhir.
Mahkamah Rayuan Singapura menangguhkan hukuman tersebut pada 20 Februari selepas timbul cabaran undang-undang terhadap Seksyen 18(2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, serta isu berkaitan tindakan bekas peguamnya dalam mengendalikan kes itu.