Ipoh, 25 Februari – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap pihak-pihak yang berselindung di sebalik imej agama untuk menyebarkan dakyah dan fitnah.
Baginda bertitah, tindakan segelintir individu yang enggan membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti adalah perbuatan yang sudah keterlaluan.
“Beta disembah maklumkan bahawa sudah ada khatib yang memilih untuk tidak mahu membaca teks khutbah yang telah diperakukan oleh pihak berkuasa agama. Perbuatan sebegini sudah keterlaluan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertemakan “Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqah Dengan Tasawuf” di Ipoh hari ini.
Baginda menegaskan bahawa individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau perlu melalui proses lantikan yang teliti. Tauliah tersebut hanya akan diperkenankan oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat, watak, ilmu, dan pengetahuan calon.
Justeru, Sultan Nazrin menyeru agar Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, dan Jabatan Mufti, bersama orang besar jajahan, jawatankuasa masjid dan surau serta ahli kariah, melaksanakan pemantauan yang rapi. Baginda mengingatkan agar pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, tetapi memiliki sikap tempang dan berperangai songsang, dapat dikenalpasti dan diambil tindakan sewajarnya.
“Pemantauan ini penting demi memelihara kesucian ajaran Islam dan memastikan umat tidak terkeliru dengan ajaran yang menyimpang,” titah baginda.
Tegas baginda lagi masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah songsang.
Pada majlis hari ini, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan buku karya Wan Zahidi bertajuk Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah dan Hubungan Antara Pemerintah Dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah.
Buku bertajuk Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah itu membincangkan tentang peranan penting Ahli Sunah Waljamaah dalam pembangunan ummah, manakala buku Hubungan Antara Pemerintah Dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah memperihalkan hubungan dua hala di antara pemerintah dan rakyat menurut kerangka Ahli Sunah Waljamaah.