Palestin Ajak Negara Islam Sumbang Wakaf untuk Pembangunan Semula Gaza

KUALA LUMPUR: Kerajaan Palestin mengalu-alukan sumbangan wakaf bagi pembangunan semula Gaza dan mengajak semua negara Islam, termasuk Malaysia, untuk turut serta dalam usaha tersebut.

Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri, berkata Palestin memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi membangunkan infrastruktur dan memperkukuhkan kembali kota suci umat Islam.

“Jemputan ini terbuka kepada semua negara Arab dan kerajaan Islam untuk meninggalkan jejak mereka di bumi Al-Quds.

“Al-Quds bukan hanya milik penduduknya, tetapi milik seluruh umat Islam, sama seperti Makkah, Masjidil Haram, dan Masjid Nabawi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, malam tadi.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar.

Sheikh Ekrima turut melahirkan penghargaan terhadap langkah Perdana Menteri yang menubuhkan inisiatif wakaf bagi Universiti Al-Quds serta sekolah-sekolah di Al-Aqsa.

“Malaysia kini mempunyai sumbangan yang berterusan pahalanya sebagai sedekah jariah di bumi Al-Quds.

“Semoga Allah membalas jasa Perdana Menteri atas langkah positif dan membina ini serta memberikan keberkatan kepada Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan wakaf sebagai satu bentuk ibadah yang membawa manfaat besar kepada masyarakat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan anak yatim, pembinaan masjid, hospital serta pemeliharaan tanah perkuburan.

“Ini adalah amalan yang dipuji dalam Islam dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW sendiri apabila Baginda mewakafkan kebun,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles