KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan seorang individu selepas gagal menghadiri prosiding mahkamah berkaitan pertuduhan memuat naik kandungan palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja di Facebook.
Menurut kenyataan SKMM, individu tersebut ditangkap pada jam 11 malam tadi di Kuala Lumpur dengan kerjasama pihak polis, susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin.
“Suspek gagal hadir pada sebutan kes yang ditetapkan pada 24 Februari 2025. Dia kini berada dalam tahanan polis dan akan dihadapkan semula ke mahkamah dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Individu tersebut bakal didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.