KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mempertimbangkan untuk menaikkan hukuman terhadap kesalahan penggunaan logo halal yang tidak sah.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perbincangan mengenai cadangan itu sedang berlangsung antara pihaknya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Terdapat cadangan untuk meningkatkan hukuman kerana ia melibatkan isu sensitif bagi masyarakat Islam. Perkara ini sedang dibincangkan dengan Jakim serta pihak berkaitan bagi memastikan tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan logo halal,” katanya ketika sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab celahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan memandangkan penalti sedia ada dilihat terlalu rendah.
Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan bahawa KPDN sedang mempertimbangkan tindakan terhadap premis yang gagal menyemak status halal produk sebelum menerima bekalan untuk dijual.
“Kita berharap pasar raya turut memainkan peranan dengan menyemak sumber bekalan produk mereka melalui portal halal.
“Kita juga sedang mempertimbang tindakan terhadap pihak yang tidak menyemak status halal kerana kebertanggungjawaban itu penting. Kita tidak mahu ada pihak yang lepas tangan dalam isu ini,” katanya.
Isu penyalahgunaan logo halal kembali menjadi tumpuan selepas Universiti Malaya mengarahkan penutupan dua cawangan kedai serbaneka KK Mart di kampusnya pada 11 Januari lalu.
Keputusan itu dibuat susulan kontroversi mengenai status halal produk sandwich yang dijual di premis tersebut.
Bagaimanapun, pada 15 Januari, Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd menegaskan bahawa bahan yang digunakan dalam produk “ham and cheese sandwich” mereka mempunyai sijil halal.
Terbaharu, Jabatan Kimia mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dikesan dalam semua sampel setiap perisa sandwich yang didapati menyalahgunakan logo halal.
Namun begitu, syarikat pengeluar sandwich tersebut dan pengarahnya kini berdepan 14 pertuduhan berkaitan penggunaan logo halal tanpa kebenaran.