Semua Taska GISB Holdings Masih Tidak Beroperasi

KUALA LUMPUR: Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah kendalian GISB Holdings (GISBH) masih belum beroperasi, demikian menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata tiada taska berkaitan GISBH yang beroperasi pada masa ini, dan beberapa kanak-kanak yang sebelum ini ditempatkan di institusi berkenaan telah dikembalikan kepada keluarga masing-masing selepas penutupan taska tersebut.

“Kita dimaklumkan bahawa tiada taska berkaitan GISBH yang sedang beroperasi sekarang ini. Kami juga telah menyelamatkan ramai kanak-kanak dalam Op Global, dan sebahagian daripada mereka telah diserahkan kembali kepada keluarga mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Zon Selatan di Aeon Dato’ Onn, hari ini.

Dalam pada itu seramai 13 kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi berkenaan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di institusi di bawah seliaan jabatan itu.

“Semua kanak-kanak ini berumur 18 tahun ke bawah dan telah memulakan aktiviti harian termasuk persekolahan seperti biasa sejak 17 Februari lalu,” tambahnya.

Dalam pada itu, Noraini turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesihatan mental remaja perempuan di Malaysia yang didapati berdepan risiko dua kali ganda lebih tinggi berbanding remaja lelaki.

Menurutnya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati sekitar 4.6 peratus atau sejuta remaja berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan.

“Data tahun 2022 menunjukkan bahawa kadar kemurungan dalam kalangan remaja perempuan adalah lebih tinggi berbanding remaja lelaki, iaitu 36.1 peratus berbanding 17.7 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan program ‘Jiwa Kuat, Wanita Sihat’ bagi meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi wanita serta kepentingan keseimbangan fizikal, mental, dan emosi dalam pembangunan negara.

BBerkaitan

Latest articles