Malaysia, Mesir Perkukuh Kerjasama dalam Pengukuhan Peradaban Islam

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir mencapai kesepakatan untuk bekerjasama dalam penganjuran konvensyen dan seminar berkaitan pengukuhan Malaysia MADANI dari perspektif peradaban Islam, melibatkan para ulama, pemikir, dan sarjana Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kementerian Wakaf Mesir turut menyatakan komitmen mereka dalam menyokong program pembangunan insan, khususnya untuk pelajar Malaysia di Mesir, selaras dengan usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.

Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr. Usamah As-Sayyid Ahmed Muhammad Al-Azhary, pagi tadi.

“Kami berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama Malaysia-Mesir susulan pertemuan saya dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini.

“Syeikh Dr. Usamah turut menyatakan dukungan penuh terhadap konsep MADANI yang berkait rapat dengan asas peradaban Islam dan sejarahnya yang mengakar dalam wacana ilmiah serta siasah Islam kontemporari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menzahirkan harapan agar hubungan erat antara Malaysia dan Mesir terus kukuh, termasuk menerusi peranan Universiti Al-Azhar dalam memperkasakan peradaban Islam serta kecemerlangan negara pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles