KUALA LUMPU: Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan buat kali pertama sejak 2013, naik kepada 1.7 pada tahun 2023 berbanding 1.6 pada tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengumumkan perkembangan ini di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Bagaimanapun, angka ini masih berada di bawah paras penggantian populasi 2.1 yang diperlukan untuk mengekalkan saiz penduduk.
Menurut data 2024 ESCAP Population Data Insight, kebanyakan negara di Asia Pasifik turut mencatatkan TFR di bawah paras ini, menandakan trend penurunan kadar kelahiran di rantau tersebut.
Penurunan kadar kelahiran ini menimbulkan kebimbangan kerana boleh membawa kepada masalah populasi menua serta kekurangan tenaga kerja dalam jangka panjang.
Jika tidak ditangani segera, ia berpotensi memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada fenomena ini adalah peningkatan kos sara hidup, yang menyebabkan ramai pasangan muda memilih untuk tidak mempunyai anak ramai, atau menangguhkan keputusan untuk berkeluarga.
Selain itu, perubahan gaya hidup dan keutamaan kerjaya dalam kalangan wanita turut memainkan peranan.
Ramai wanita memilih untuk melanjutkan pelajaran dan memberi tumpuan kepada kerjaya sebelum berkahwin, yang seterusnya menyebabkan mereka berkeluarga pada usia yang lebih lewat.
Ini meningkatkan risiko masalah kesuburan kerana tahap kesuburan wanita menurun dengan pertambahan usia.
Bagi menangani isu ini, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak insentif bagi menggalakkan kadar kelahiran.
Antara langkah yang boleh diambil termasuk; subsidi penjagaan anak untuk meringankan beban kewangan keluarga muda; potongan cukai khas kepada ibu bapa bagi menggalakkan pertumbuhan keluarga dan sokongan kepada ibu bapa bekerja, seperti fleksibiliti waktu kerja dan cuti bersalin yang lebih panjang.
Begitu juga dengan kempen kesedaran kesuburan, seperti yang telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara melalui Program Galakan Perkahwinan dan perkhidmatan berkaitan kesuburan.
Walaupun peningkatan TFR kepada 1.7 merupakan petanda positif, usaha lebih menyeluruh masih diperlukan bagi memastikan kadar kelahiran kembali stabil dan mampu menyokong pembangunan negara dalam jangka panjang.