JKM Sahkan Remaja Cabul Budak Dalam Masjid Ada Kad OKU

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan remaja yang sedang disiasat kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali semalam, memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kecil.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim mengesahkan semakan ke atas rekod remaja itu mendapati dia merupakan OKU masalah pembelajaran.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia (suspek) mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya memetik Harian Metro hari ini.

Media melaporkan remaja berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bemula hari ini.

Polis memperoleh perintah menahan lelaki itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri sehingga 28 Februari ini.

Sebelum ini, polis menerima laporan pada pukul 8.19 pagi semalam berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.

Rakaman video kamera litar tertutup yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud dari arah belakang tanpa disedari jemaah lain.

Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.

Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.

BBerkaitan

Latest articles