Kuala Kedah — Sebanyak enam unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diserahkan secara rasmi kepada penerima yang layak dalam satu majlis penyerahan yang dihadiri oleh Datuk Mohd Razlan Bin Muhammad Rafii, Setiausaha Politik YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bersama Lembaga Pengarah Giat MARA, pengurus Giat MARA kawasan, kontraktor, serta pemimpin setempat.
Menurut Mohd Razlan, projek penyerahan rumah ini adalah hasil usaha kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan, dengan kos pembinaan setiap rumah berjumlah RM56,000. Namun, untuk projek PPR baharu di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, harga rumah rakyat sejahtera kini ditetapkan pada RM79,000 di Semenanjung dan RM85,080 di Sabah dan Sarawak.
“Kami menjangkakan sebanyak 1,800 unit rumah baharu akan dibina tahun ini. Bagi rumah yang memerlukan pembaikan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk setiap rumah,” katanya ketika ditemui di majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Parlimen Kuala Kedah.
Menurut Mohd Razlan lagi, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di seluruh negara, dengan sasaran sifar miskin dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Sementara itu, Menurut Razlan lagi,negeri Kelantan dan Sabah mencatatkan jumlah permohonan tertinggi berikutan keadaan pembangunan yang masih mundur di kawasan tersebut. Di Kedah sahaja, lebih 1,000 permohonan telah diterima, dan kerajaan berusaha menyelesaikan sekitar 150 permohonan setiap tahun.
Ditanya mengenai cabaran menyiapkan inisiatif ini, Razlan berkata pemilikan tanah sering menjadi cabaran dalam pelaksanaan projek ini.
“Banyak tanah yang diduduki adalah tanah setinggan tanpa geran. Kami berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama untuk memudahkan urusan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Razlan juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Giat MARA atas kelulusan dan pelaksanaan projek ini di Kuala Kedah. “Ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
Majlis penyerahan rumah ini diakhiri dengan lawatan ke kediaman baharu penerima, yang kini sudah siap dan sedia untuk didiami.