Kuala Lumpur — Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House, dengan kerjasama YTL Foundation dan YTL Construction, telah merasmikan wajah baharu premis mereka di Kampung Ampang Campuran. Projek pemuliharaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif impak komuniti sempena Ulang Tahun ke-70 Kumpulan YTL.
Yellow House, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, berperanan membantu kehidupan golongan rentan, termasuk gelandangan, miskin bandar, dan komuniti pelarian. Bangunan asal yang berusia 40 tahun kini dinaiktaraf menjadi ruang lestari yang lebih selesa, sesuai untuk pelaksanaan pelbagai program sosial dan komuniti.
Reka bentuk baharu Yellow House mengutamakan elemen lestari dengan penggunaan buluh sebagai bahan utama binaan. Bumbung bangunan turut dinaikkan untuk meningkatkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, manakala laman tengah memberikan fleksibiliti ruang bagi aktiviti terbuka dan mesra komuniti.
Menurut Shyam Priah, Pengasas dan Presiden Yellow House, “Wajah baharu ini adalah hasil sokongan padu YTL Foundation, YTL Construction, serta rakan korporat dan penderma individu. Dengan premis yang telah dinaiktaraf, kami dapat memperluaskan program dan meningkatkan impak terhadap komuniti yang memerlukan.”
Sebagai sebahagian daripada program pasca-pemuliharaan, Yellow House melancarkan Farmer’s Market, yang bertujuan menyokong petani kecil di Ampang. Pasar ini membolehkan mereka menjual hasil tanaman secara langsung kepada pengguna, sekali gus menghapuskan peranan orang tengah.
Golongan gelandangan yang menerima manfaat daripada program Yellow House juga akan berpeluang menjual hasil tanaman mereka, termasuk sayuran mikro, herba kering, dan produk lain yang diusahakan di Farm School seluas satu ekar milik Yellow House.
Sementara itu, Pengarah Program YTL Foundation,Kathleen Chew berkata projek pemuliharaan ini mencerminkan komitmen YTL terhadap misi Building The Right Thing dan tema ulang tahun ke-70 mereka, YTL Beyond 70.
Selain menyokong reka bentuk dan pembinaan, YTL Construction turut menggerakkan tenaga kerja mereka untuk membantu dalam proses pengubahsuaian, termasuk menganjurkan acara seperti Yellow House Charity Bazaar dan YTL Construction Family Day bagi mengumpul dana.
Menurut pengarah YTL Construction pula Yeoh Pei Tsen , Yellow House menekankan penggunaan bahan lestari seperti buluh dan plastik kitar semula untuk mencipta ruang yang lebih besar dan terbuka. Projek ini melibatkan kerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa.
@therakyatinsight Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House, dengan kerjasama YTL Foundation dan YTL Construction, telah merasmikan wajah baharu premis mereka di Kampung Ampang Campuran. Projek pemuliharaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif impak komuniti sempena Ulang Tahun ke-70 Kumpulan YTL. Yellow House, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, berperanan membantu kehidupan golongan rentan, termasuk gelandangan, miskin bandar, dan komuniti pelarian. Bangunan asal yang berusia 40 tahun kini dinaiktaraf menjadi ruang lestari yang lebih selesa, sesuai untuk pelaksanaan pelbagai program sosial dan komuniti. Reka bentuk baharu Yellow House mengutamakan elemen lestari dengan penggunaan buluh sebagai bahan utama binaan. Bumbung bangunan turut dinaikkan untuk meningkatkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, manakala laman tengah memberikan fleksibiliti ruang bagi aktiviti terbuka dan mesra komuniti. #YellowHouse #YTLFoundation #CommunityImpact #Sustainability #BambooArchitecture #SocialInnovation #UrbanFarming #FarmersMarket #BuildingTheRightThing #Beyond70 ♬ original sound – The Rakyat Insight
“Kami bekerja dengan banyak rakan kongsi yang menyumbang dalam pelbagai aspek pembinaan, dari dinding hingga pintu,” kata Shyam Priah. “Buluh bukan sahaja sebagai elemen hiasan tetapi juga struktur utama yang memberikan kekuatan dan ketahanan.”
Buluh yang digunakan telah dirawat dengan teliti untuk memastikan ketahanannya. Pemasangan buluh dan bahan binaan lain memerlukan kemahiran khusus, menjadikannya satu cabang kerja kraf yang unik.
Projek ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Yellow House berharap ruang sosial ini dapat menjadi tempat orang ramai berkumpul, berinteraksi, dan menyertai pelbagai aktiviti. Ruang ini juga akan berfungsi sebagai tempat perlindungan, pusat komuniti, dan ruang kerja bersama (co-working space).
Shyam Priah menambah bahawa Yellow House kini memberi tumpuan kepada memperkukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan serta organisasi komuniti untuk menjayakan program akan datang. Mereka juga mengalu-alukan sumbangan dan tajaan bagi menyokong operasi dan pembangunan program berterusan.
Premis Yellow House, yang asalnya dibina pada 1980-an oleh bapa dan datuk Shyam Priah, kini telah memberi manfaat kepada hampir 36,000 individu dan menerima lebih daripada 1,000 sukarelawan antarabangsa sejak penubuhannya pada tahun 2011.