KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis bersedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, termasuk pertahanan, ekonomi, tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan, dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan itu dicapai menerusi perbualan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, semalam.
Menurut Anwar, perbualan itu turut menyingkap perkembangan hasil pertemuan mereka ketika Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu.
“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Macron atas sokongan terhadap pembangunan semula Gaza susulan kekejaman rejim Zionis Israel sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Selain itu, kedua-dua pemimpin bersetuju mencari jalan penyelesaian terhadap krisis di Myanmar bagi mewujudkan keamanan di negara itu melalui pendekatan diplomatik yang bersesuaian.
Anwar turut mengalu-alukan kehadiran Macron dan delegasi Perancis ke Malaysia pada Mei ini sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.