Elak Cetus Kegusaran Awam Berhubung Insiden Budak Tercekik ‘Eyeball Candy’

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata, kerana boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Sungai Dua pada Selasa lalu.

“Laporan tersebut dibuat oleh seorang guru Kelas Quran dan Fardhu ’Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua pada jam 12.49 tengah malam semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di koridor sekolah menuju ke tandas oleh rakannya.

“Saksi kejadian, seorang murid berusia 10 tahun, mendakwa mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke tandas sebelum meminta bantuan guru kelas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Anuar, pihak sekolah telah berusaha memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya, sebelum menghubungi Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan bantuan lanjut.

“Setibanya pasukan perubatan, mereka berjaya mengeluarkan gula-gula yang tersekat di dalam mulut mangsa, namun mangsa masih tidak sedarkan diri.

“Mangsa kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan kes ini sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam serta proses siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Shuheri Abdul Rani, di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles