Tiada Sebab Untuk Hadi Diganti, Tuan Ibrahim Tolak Pencalonan Jawatan Presiden

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu kekal sebagai Presiden PAS, meskipun timbul gesaan supaya kedudukan pertama parti itu digantikan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau akan menolak pencalonan sebagai presiden pada pemilihan parti, yang akan diadakan September depan.

Memetik temubualnya dengan FMT, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menolak cadangan penganalisis politik supaya bertanding jawatan itu, selain turut menegaskan dirinya tidak pernah melobi untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan untuk pemilihan PAS.

“Ya, kita lihat tiada keperluan (jawatan presiden dipertandingkan),” kata Tuan Ibrahim.

Untuk rekod kali terakhir kerusi Presiden dipertandingkan adalah 10 tahun lalu.

Pemilihan pada 2015 itu menyaksikan Hadi menewaskan Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim merampas kerusi timbalan presiden daripada Datuk Seri Mohamad Sabu yang kemudiannya keluar menubuhkan Amanah.

Sebelum ini wujud permintaan supaya Hadi berundur dari jawatannya atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun menurut Tuan Ibrahim, beliau secara peribadi berpendapat tiada keperluan menggantikan Hadi yang membawa PAS mencapai prestasi terbaiknya dengan memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 di sebalik pelbagai serangan dan kutukan.

“Orang serang kerana kejayaannya bukan kelemahan, kalau lemah takkan pencapaian PAS di tahap terbaik sekarang.

“Kejayaan besar itu harus dihargai bukan ancaman bahkan sepatutnya inilah satu peluang (perkuatkan parti)…bagi saya secara peribadi presiden harus kekal,” katanya yang bagaimanapun menjelaskan PAS tidak pernah menutup ruang pertandingan bagi semua jawatan.

“Cuma kita tengok biasanya presiden dan timbalan tidak dipertandingkan bukan kerana tak nak bagi bertanding tetapi perwakilan buat keputusan itu, sudah tiga kali pemilihan.”

Beliau turut menolak faktor kesihatan sebagai alasan menggesa Hadi memberi laluan dan yakin tokoh itu memiliki minda kuat untuk menguruskan parti dengan sokongan semua pemimpin serta ahli.

“Bukannya kita nak pergi bertumbuk dan bergaduh yang perlu tenaga kuat, tetapi bagaimana minda seseorang itu nak urus parti selain berdepan isu semasa.

“Secara fizikal Dr Mahathir Mohamad sudah hampir 100 tahun tapi idea (masih relevan), jadi yang penting politik ini bukan hanya fizikal tetapi kemampuan Hadi beri pandangan bagus dan susun strategi parti dengan disokong semua,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata beliau juga belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan kedudukan timbalan presiden atau sebaliknya kerana ingin melihat pencalonan terlebih dahulu.

“Bergantung kepada pencalonan, kalau ada boleh pertimbang…buat masa ini kawasan belum mesyuarat dan buat keputusan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan tiada perbincangan untuk melantik Hadi sebagai mursyidul Am PAS menggantikan Hashim Jasin, jika beliau memutuskan tidak lagi mahu bertanding.

“Tiada langsung bincang Hadi dilantik mursyidul am dan presiden perlu dilantik orang lain, sama ada peringkat syura, pusat atau lajnah politik…pasal pemilihan pun tak bincang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles