Google Malaysia Perkukuh Keselamatan Digital Keluarga Dengan Alat Kawalan Ibu Bapa

KUALA LUMPUR: Hari ini dapat dilihat ramai keluarga di negara ini beralih ke platform digital untuk pendidikan dan hiburan.

Sudah pasti tahap keselamatan dalam talian kini menjadi keutamaan bagi ibu bapa.

Menurut Google Trends, minat carian terhadap “masa skrin” mencapai tahap tertinggi sepanjang masa pada Disember 2024, menunjukkan ramai ibu bapa mahu mengurus tabiat digital anak-anak.

Sehubungan itu Google Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap keselamatan dalam talian dengan memperkenalkan pelbagai alat kawalan ibu bapa dan program literasi digital.

“Keluarga perlu diperkasa dengan pengetahuan dan alat yang betul untuk memastikan Internet selamat.

“Dengan kawalan ibu bapa seperti Family Link dan program Be Internet Awesome, kami ingin membantu keibubapaan digital yang lebih yakin,” demikian menurut Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan Qureshi.

Menurut Tinjauan Keselamatan Dalam Talian APAC Kids and Families, sebanyak 75% kanak-kanak Malaysia meluangkan 1 hingga 6 jam sehari di platform digital.

Antara kandungan tidak sesuai yang dilaporkan ibu bapa termasuk maklumat palsu (56.4%), iklan mengelirukan (52.3%) dan kandungan ganas (45.9%).

Carian seperti “masa skrin untuk kanak-kanak” juga menjadi antara 10 carian teratas di Malaysia, menunjukkan keprihatinan ibu bapa terhadap keselamatan digital.

Google menyediakan ciri keselamatan seperti SafeSearch, yang secara automatik mengaburkan imej eksplisit untuk pengguna di bawah 18 tahun.

Family Link pula membolehkan ibu bapa mengurus masa skrin, akses laman web dan aktiviti dalam talian anak-anak.

Di YouTube, aplikasi YouTube Kids menyediakan kandungan yang dipilih khas untuk kanak-kanak.

Bagi remaja, YouTube menawarkan ciri kawalan kandungan dan peringatan masa skrin untuk memupuk tabiat digital yang sihat.

Google turut melabur dalam pendidikan digital melalui program Be Internet Awesome, yang telah memperkasakan lebih 148,000 kanak-kanak di Malaysia.

Program ini kini tersedia dalam bahasa Melayu dan boleh diakses melalui DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia).

Google juga memperkenalkan Be Internet Awesome World di platform Roblox, membolehkan kanak-kanak belajar keselamatan dalam talian melalui permainan interaktif.

Google kekal komited menyediakan alat yang membantu keluarga mengurus masa skrin, menapis kandungan dan melindungi anak-anak dalam talian.

Selain itu ibu bapa boleh meneroka ciri keselamatan ini di Google Safety Center.

BBerkaitan

Latest articles