Tengku Zafrul Nafi Akan Dilantik Sebagai Duta Besar Ke AS

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menafikan beliau bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Jawapannya adalah tidak. Tetapi, siapa pun yang akan dilantik (sebagai Duta Besar Malaysia ke AS), Kementerian kami sedia memberi sokongan penuh.

“Kita perlu seseorang untuk berada di lapangan,” katanya semasa sidang media di Persidangan China Asia Tenggara yang dianjurkan agensi berita South China Morning Post di sini hari ini.

Pada 7 Februari lalu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mencadangkan lima nama untuk dipertimbang sebagai Duta Besar Malaysia ke AS bagi menggantikan Tan Sri Nazri Aziz yang tamat kontrak selepas berkhidmat selama dua tahun di Washington.

Selain Tengku Zafrul, Ahli Parlimen DAP itu turut mencalonkan anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar; bekas Pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sudah memuktamadkan nama bagi mengisi kekosongan jawatan duta besar Malaysia ke AS.

Katanya, beliau akan menyerahkan nama itu untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekembalinya dari lawatan rasmi ke Bahrain.

BBerkaitan

Latest articles