KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata apa jua isu yang berkait dengan hal ehwal agama bukan Islam di negara ini diuruskan Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA).
BKAPA yang merupakan salah satu bahagian di kementerian itu dipengerusikan olehnya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Tiada keperluan untuk mewujudkan portfolio menteri yang menjaga hal ehwal agama bukan Islam. Ada pelbagai bahagian di bawah kementerian ini (Kementerian Perpaduan) yang boleh menangani isu hal bukan Islam dan ia turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk daripada wakil agama.
“Selain BKAPA, kita turut mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk menangani isu sensitif membabitkan agama dan sebagainya.
“Sekiranya ada isu berbangkit, kita akan adakan mesyuarat untuk melihat kepada isu berkaitan, akan berbincang dan cadangkan apa tindakan sepatutnya diambil dan terangkan keadaan sebenar kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jejak Harmoni sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, hari ini.
Kenyataan itu menyusul berikutan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini, Yu Hui menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Bagaimanapun, cadangan itu menerima pelbagai pertikaian daripada masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada semalam berkata, Jemaah Menteri menolak saranan itu dan menyifatkan ia adalah pandangan peribadi Ahli Parlimen berkenaan.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Aaron berkata, sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, tidak dinafikan perbezaan wujud dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Namun, kita harus melihat perbezaan ini sebagai kekuatan dan bukannya kelemahan. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi jurang pemisah, sebaliknya menjadi asas kepada satu masyarakat yang inklusif dan saling menghormati.
“Justeru, saya mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam menyampaikan pandangan mengenai isu agama.
“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina atau merendahkan kepercayaan orang lain. Sebaliknya, saya menyeru supaya rakyat menggunakan kebebasan ini untuk membina keharmonian dan perpaduan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata, rakyat juga perlu bersifat matang sebelum mengutarakan sebarang pendapat berkaitan agama dan kaum.
“Media sosial menjadi platform utama dalam menyebarkan maklumat dan penggunaannya haruslah dengan penuh tanggungjawab.
“Perbuatan menyebarkan berita palsu atau kenyataan provokatif mengenai agama boleh memburukkan keadaan dan mengundang ketegangan antara masyarakat. Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk mengamalkan sikap matang dalam setiap perbincangan berkaitan agama dan kaum,” katanya.