Cadangan Yu Hui Tidak Mewakili Pendirian Kerajaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan cadangan Yu Hui itu adalah suara peribadinya.

“Kenyataan MP Raub itu suara peribadi dan tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan, apa lagi dalam Jemaah Menteri.

“Dan soal pelantikan itu adalah budi bicara Perdana Menteri dan tidak termasuk dalam perkiraan, ada menteri agama, menteri perpaduan dan jawatankuasa harmoni mewakili semua kaum agama dan saluran itu memadai,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, hari ini.

Perdebatan mengenai pecahan dua portfolio
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tercetus selepas Yu Hui mencadangkannya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Raub itu mendakwa pemecaham Kementerian itu kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Malah, katanya, exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam juga turut diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam pada itu, pembangkang menempelak Yu Hui yang menyarankan cadangan itu kerana pelantikan menteri tersebut diberikan kepada individu beragama Islam.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, ia selaras dengan kedudukan agama itu dalam negara.

BBerkaitan

Latest articles