KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM1.2 juta bagi membaik pulih kemudahan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.
Beliau berkata, dana tersebut akan digunakan untuk mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan lif yang telah lama rosak, sekaligus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Siapa nak ambil tahu pasal lif di Lembah Subang 1? Tapi kerajaan Madani ini ambil tahu. Di Wangsa Maju, daripada 25 lif, 24 rosak. Di Lembah Subang 1 pula, tiga unit lif rosak. Ini baru kerajaan yang peduli rakyat,” katanya ketika berucap pada Hari Anugerah Forum Komuniti (FORKOM) Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan di PPR Lembah Subang 1, hari ini.
Anwar berkata bahawa peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selewat-lewatnya Jumaat ini.
“Kalau tak ada perubahan, panggil Datuk Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) datang ke sini,” selorohnya.
Selain membaik pulih infrastruktur, Perdana Menteri turut mahu PPR Lembah Subang 1 dijadikan model perumahan rakyat terbaik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.
“Saya dengar Ahli Parlimen Petaling Jaya, Chean Chung, kata setiap tingkat di sini ada tempat duduk, tempat bekerja, ruang anak-anak belajar, tempat solat dan mengaji. Ini satu contoh yang baik.
“Kalau boleh, Menteri Perpaduan dan KPKT beri sedikit masa lagi untuk perbaiki. Kita mahu PPR Lembah Subang 1 menjadi contoh kepada semua PPR di negara ini,” tambahnya.