KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik berbanding RM1,300 per tan metrik berkuatkuasa 16 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu bagi membantu menambah baik pendapatan pesawah.
Mohamad turut mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.
Katanya, penetapan harga itu mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian serperti baja dan racun serta kos lain termasuk impak pengeluaran beras yang beri kesan kepada beras di pasaran.
“Ini ambil kira kos upah dan input pertanian baja serta racun,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kementerian Kewangan sedang memuktamadkan perundingan bagi membolehkan penyelia perkhidmatan padi dan beras juga layak menerima subsidi budi madani
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat hari ini.