Pakar Perlembagaan Tolak Cadangan Pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam Ditolak

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, untuk melantik Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, cadangan tersebut tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara, selain ketiadaan peruntukan khusus bagi pentadbiran agama bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Shamrahayu menegaskan bahawa pelantikan menteri khusus bagi agama bukan Islam boleh menimbulkan tanggapan bahawa semua agama di Malaysia mempunyai kedudukan yang sama, sedangkan Perlembagaan tidak pernah berniat ke arah itu.

“Perlembagaan tidak memperuntukkan sebarang tatacara khusus bagi pengurusan agama bukan Islam di peringkat Persekutuan. Malah, sejarah pembentukan Perlembagaan juga tidak pernah membincangkan perkara ini berbanding kedudukan Islam,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, Perkara 12(2) Perlembagaan hanya memberi peruntukan bagi penubuhan institusi Islam, manakala Perkara 77 menyatakan bahawa urusan agama selain Islam berada di bawah kuasa negeri kerana tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Meskipun tiada menteri khusus bagi agama bukan Islam, Shamrahayu menegaskan bahawa hak dan kebajikan penganut agama lain tetap terpelihara melalui kementerian dan jawatankuasa sedia ada, termasuk Kementerian Perpaduan Negara serta Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.

“Pentadbiran negara tidak pernah mengabaikan hak masyarakat bukan Islam. Terdapat pelbagai saluran yang telah disediakan oleh kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan, bagi memastikan kebajikan dan kepentingan mereka terjaga,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan seorang Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam berpotensi mencetuskan ketegangan antara pelbagai agama kerana jumlah agama bukan Islam yang banyak di negara ini.

“Seorang menteri perlu mewakili pelbagai kepercayaan seperti Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, dan lain-lain secara saksama. Ini bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga boleh menimbulkan perbezaan dalam kalangan penganut agama,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang diiktiraf kerajaan terus berperanan dalam menguruskan urusan agama bukan Islam, dengan kerjasama Menteri Perpaduan Negara.

BBerkaitan

Latest articles