Pasangan Dipercayai Bertengkar Sebelum Isteri Maut Terbabas Motosikal

KUALA LUMPUR: Kemalangan maut membabitkan seorang wanita yang menunggang motosikal pada tengah malam tadi berpunca dari adegan kejar-mengejar oleh suaminya selepas pasangan itu bertengkar.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata mangsa, Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan merempuh tembok batu di Kampung Pengkalan, Alor Gajah.

“Ada saksi mengatakan berlaku pertengkaran antara arwah dan suaminya berusia 22 tahun di luar sebelum kejadian sehingga berlaku kejar mengejar antara kedua-duanya yang menaiki motosikal berasingan.

“Suaminya mengejar mangsa sebelum motosikal wanita itu terbabas di selekoh berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin dan merempuh tembok batu menyebabkannya maut ditempat kejadian,” katanya.

Terdahulu, Nur Erdiyanah yang juga pekerja kilang maut dalam kejadian kira-kira 12.45 malam tadi, selepas motosikal jenis Yamaha LC ditunggang dipercayai terbabas.

Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.

Mengulas lanjut Ashari berkata, susulan itu pihak polis telah memanggil suami mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang ke balai polis hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Punca pertengkaran pasangan itu yang belum mempunyai anak masih lagi dalam siasatan.

“Berkemungkinan kita akan menahan reman suami mangsa untuk mambantu siasatan kes,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles