PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang kini menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata dokumen berkenaan tindakan itu telah disediakan dan permohonan dijangka difailkan selewat-lewatnya Jumaat ini selepas satu mesyuarat diadakan pada hari Khamis.
“Saya mendapat arahan daripada Datuk Seri Najib untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Dokumen mengenainya sudah disediakan dan kita akan ada mesyuarat esok sebelum tindakan pada Jumaat ini,” katanya pada sidang media di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.
Shafee menjelaskan bahawa tindakan ini diambil kerana Terrirudin didakwa tidak mendedahkan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya di bawah tahanan rumah.
Beliau juga mendakwa bahawa Terrirudin bersikap tidak jujur mengenai pengetahuan kerajaan terhadap kewujudan titah adendum tersebut.
“Mesti telus dan jujur, tidak boleh bermain sorok-sorok,” kata Shafee.
Selain itu, pihak peguam negara belum memberi sebarang maklum balas berkenaan afidavit yang difailkan oleh pihaknya sebelum ini, walaupun berjanji untuk melakukannya dalam masa seminggu.
“Walaupun mereka berjanji untuk membalasnya dalam masa seminggu pada minggu lalu, namun sehingga kini kami belum mendapat apa-apa maklum balas.
“Bagaimanapun, mereka ada sehingga 6 Mac ini untuk membalasnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, barisan peguam Najib juga sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun permohonan itu tidak harus menjejaskan hak yang ada dalam Titah Adendum sebelum ini.
“Berkenaan dengan soalan sama ada pengampunan Diraja telah pun dikemukakan, saya jawab dengan tegas setakat ini belum.
“Namun, saya sedang berfikir kalau buat satu pengampunan baharu ia tidak harus menjejaskan hak di bawah adendum kita demi memberi keuntungan kepada Najib.
“Seperti saya kata kita harus buat kedua-duanya kerana adendum tersebut juga adalah satu titah YDPA. Kita harus hormat,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di sini pada Rabu.