KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 20 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada 28 Januari lalu.
Abang ipar mangsa, Muhammad Afiq A Rahim, 27, memaklumkan seluruh keluarga amat bimbang dengan keadaan Juahmad Ramid, 20.
“Juahmad pulanglah. Kami rindu dan bimbang jika terjadi sesuatu kepada kamu,” katanya.
Juahmad, merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu yang mesra disapa ‘Botak Besar’.
Lelaki berkenaan dipercayai keluar dari rumah keluarga di Jalan Batu Nilam 1, Bukit Tinggi pada 6.30 petang, 28 Januari lalu.
Menurut Muhammad Afiq , Juahmad yang berkulit cerah dan rambut panjang, dilihat kali terakhir memakai baju kemeja lengan panjang berjalur merah putih.
“Adik-beradik Juahmad ada memaklumkan dia meluangkan masa bersama rakannya sehingga jam 3 pagi (29 Januari) tetapi apabila mereka hendak pulang, Juahmad kata nak tunggu rakan lain.
“Sejak itu, dia tidak lagi pulang ke rumah,” katanya.
Muhammad Afiq berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Bukit Tinggi pada 30 Januari lalu dan pada masa sama mereka sekeluarga melakukan pencarian sendiri di pelbagai lokasi.
“Apa yang kami takut, Juahmad lupa jalan pulang selain dia juga tidak bawa sebarang dokumen pengenalan diri termasuk telefon bimbit dan wang tunai,” katanya.
Menurutnya, Juahmad juga pernah mengatakan mahu pergi jauh kerana mendakwa keselamatan terancam dan merasakan seperti ada musuh.
“Apa yang membimbangkan adalah adik ipar mengalami masalah kemurungan dan fikirannya kerap terganggu selepas kematian neneknya sejak September tahun lalu,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Muhammad Afiq atau isterinya, Jumatiah di talian 017-6192685 dan 017-7404807 atau balai polis berhampiran.