Polis Sahkan Penahanan Seorang Individu Berkaitan Kes Ceroboh Icon Residence

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Sentul mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 56 tahun atas kesalahan menceroboh pada Khamis lalu.

Suspek yang ditahan sekitar jam 3.14 minit petang ( 10 Februari 2025) selepas didakwa menceroboh pos kawalan keselamatan di pintu masuk Icon Residence bersama seorang individu lain pada jam 11.45 pagi, walaupun telah dihalang oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata dalam kejadian itu, suspek bersama rakannya telah menceroboh pos kawalan sebelum salah seorang daripada mereka mengganggu sistem daftar masuk QR, menyebabkan kerosakan pada sistem kawalan palang di pos berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Portal Rakyat Insight.

Sementara itu, satu video yang dipercayai dirakam ketika polis menahan suspek di kediamannya turut tular di media sosial. Dalam video berkenaan, beliau dilihat ditahan di hadapan rumahnya dan dipercayai bertindak melawan ketika penahanan dilakukan.

Suspek sebelum ini menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa ketika memegang jawatan berkaitan kewangan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium mewah berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menolak bantahan JMB terhadap Badan Pengurusan (MC), yang ditubuhkan secara sah bagi mengambil alih pengurusan kondominium tersebut.

Pada 14 Januari 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan JMB Icon Residence untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tribunal bertarikh 5 April 2024. Hakim Datuk S. Amarjeet Singh memutuskan bahawa tiada arahan spesifik yang perlu ditangguhkan dalam keputusan tribunal tersebut dan mengarahkan JMB membayar kos sebanyak RM5,000.

BBerkaitan

Latest articles