KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan bahawa hubungan antara Turkiye dan Malaysia bukan sekadar rakan diplomatik, tetapi juga sebagai rakan sejati, saudara, dan rakan kongsi strategik, meskipun kedua-dua negara terletak di dua penghujung benua Asia.
Menurut Erdogan, hubungan dua hala antara Turkiye dan Malaysia telah diperkukuh pada 2014 apabila ia dinaik taraf ke tahap strategik, sebelum mencapai tahap strategik komprehensif pada 2022.
Salah satu bidang utama kerjasama ialah pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
“Suatu ketika dahulu, belia Turkiye terpaksa berhijrah ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya akademik disebabkan batasan mentaliti yang menindas di negara kami. Syukur, zaman itu telah berlalu,” katanya dalam ucapannya di Istiadat Konvokesyen Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Tambahnya, Turkiye kini menawarkan pendidikan tinggi kepada hampir 340,000 pelajar antarabangsa dari 190 negara.
“Ramai generasi muda kini mendapat pendidikan di Turkiye dan Malaysia dengan bantuan biasiswa. Sejak 2019, bahasa Turkiye juga telah diajarkan di Universiti Malaya melalui kerjasama strategik dengan Pusat Kebudayaan Emre Yunus. Hari ini, semakin ramai graduan dari kedua-dua negara, dan kami amat berbangga dengan perkembangan ini,” katanya lagi.
Dalam majlis tersebut, Erdogan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Antarabangsa Universiti Malaya oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Canselor universiti berkenaan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin atas penganugerahan tersebut, yang disifatkannya sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada negaranya serta rakyat Turkiye.
Erdogan turut mengakui Universiti Malaya sebagai salah satu faktor utama yang menjadikan Malaysia pusat pendidikan tinggi serantau.
“Universiti Malaya, yang kini berada di tangga ke-60 dalam senarai universiti terbaik dunia dengan hampir 40,000 pelajar, memainkan peranan penting dalam bidang akademik dan penyelidikan.
“Saya percaya kepimpinan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dengan sumbangan akademiknya yang luar biasa, telah memberi impak besar dalam perkembangan universiti ini,” katanya.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi yang kukuh adalah asas kepada pembangunan masyarakat, dengan sistem akademik yang mantap dapat melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Saya yakin Malaysia, yang semakin bersinar sebagai kuasa baharu di Asia, akan mencapai lebih banyak kejayaan dengan sumber manusia yang berpendidikan tinggi,” katanya.