Bekas Bendahari JMB Icon Residence Ditahan Polis

Kuala Lumpur — Bekas Bendahari Badan Pengurusan Bersama (JMB) Icon Residence Mont Kiara, dilaporkan telah ditahan polis atas dakwaan menceroboh kondominium tersebut sekitar jam 4.30 petang tadi.

Menurut sumber, Beliau dipercayai telah menceroboh premis berkenaan pada Khamis minggu lalu bersama beberapa individu lain, tanpa menghiraukan larangan daripada pengawal keselamatan yang bertugas.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, tujuan pencerobohan tersebut tidak diketahui. Bagaimanapun,beliau dikatakan turut memasuki bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) dan merosakkan beberapa peralatan, termasuk kamera CCTV yang dipasang di beberapa laluan dalam kondominium.

“Kami dimaklumkan bahawa polis telah menahannya hari ini. Minggu lalu, ada penduduk yang memberitahu bahawa dia bersama beberapa individu lain telah menceroboh kawasan ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa kamera CCTV di kondominium itu rosak selepas kejadian tersebut.

Sementara itu, satu video yang dipercayai dirakam ketika polis menahan suspek di kediamannya telah tular di media sosial. Dalam video berkenaan, beliau dilihat ditahan di hadapan rumahnya dan dipercayai bertindak melawan ketika penahanan dilakukan.

Pihak kami sedang mendapatkan pengesahan daripada polis mengenai kejadian ini.

Sebelum ini, suspek menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa ketika memegang jawatan Bendahari JMB Icon Residence. Mahkamah kemudiannya menolak bantahan JMB terhadap Badan Pengurusan (MC) yang ditubuhkan secara sah untuk mengambil alih pengurusan kondominium tersebut.

Pada 14 Januari 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan JMB Icon Residence untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tribunal bertarikh 5 April 2024. Hakim Datuk S. Amarjeet Singh memutuskan bahawa tiada arahan spesifik yang perlu ditangguhkan dalam keputusan tribunal tersebut dan mengarahkan JMB membayar kos sebanyak RM5,000. 

Sebelum itu, pada 8 November 2024, Mahkamah Tinggi (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) menolak permohonan semakan kehakiman oleh JMB Icon Residence yang mencabar keabsahan pelantikan Badan Pengurusan (MC) untuk mengambil alih pengurusan kondominium tersebut.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyatakan bahawa peranan pengurusan akan beralih sepenuhnya kepada Perbadanan Pengurusan yang ditubuhkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan pada 23 Disember 2023. Mahkamah juga memerintahkan JMB untuk segera memindahkan baki dana dalam akaun penyelenggaraan dan akaun dana simpanan kepada Perbadanan Pengurusan serta menyerahkan semua aset, liabiliti, dokumen, dan rekod yang berkaitan. 

BBerkaitan

Latest articles