KUALA LUMPUR: Seramai 18 individu lagi akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung operasi Sky (Ops Sky).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 39 individu bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya.
Menurut Azam SPRM sedang bekerjasama dengan beberapa institusi perbankan bagi mendapatkan dokumen pinjaman membabitkan beberapa pemohon yang telah dikenal pasti.
“Setakat ini, tiada perubahan dalam jumlah akaun bank yang dibekukan dan aset yang telah disita,” tambahnya.
Operasi yang dinamakan “Ops Sky” ini membongkar kegiatan pegawai bank yang menerima rasuah daripada pegawai sebuah firma perunding kewangan bagi meluluskan permohonan pinjaman peribadi individu yang mempunyai hutang tertunggak.
Dalam Operasinya sejak bulan lalu, SPRM telah menahan seramai 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank.
SPRM turut merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank dengan nilai lebih RM17 juta.