Tak Perlu Garis Panduan, Al-Quran, Sunnah Adalah Terbaik Untuk Umat Islam

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam dalam menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di negeri itu.

Selaku Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, baginda berpandangan rakyat pada ketika ini sedang mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

Baginda bertitah, Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” demikian menurut kenyataan itu yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Titah baginda, polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.

Sehubungan itu Sultan Selangor mengajak seluruh rakyat negara ini dengan kepelbagaian agama dan kaum terus bertoleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.

Malah rakyat juga digesa memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya,” tambah kenyataan itu.

Titah baginda, apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah SWT, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar.

BBerkaitan

Latest articles