KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, Masjid Tanah meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang memberikan taklimat sukan di kolej berkenaan, malam tadi.
Mangsa, Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly,19, disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam semasa dirawat di Hospital Alor Gajah.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berdasarkan laporan disediakan Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMM, ketika kejadian pelajar jurusan perakaunan itu sedang memberikan taklimat berkaitan sukan bola baling kepada peserta di Dewan Terbuka Rahmat.
Menurutnya, sebelum itu pada jam 9 malam satu perjumpaan diadakan antara Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bersama semua peserta Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Melaka (KSKMM) di dewan itu.
“Semua ahli JPP diberi tugasan memberikan taklimat sukan yang akan dijalankan semasa karnival dan Ahmad Saffiyudeen menerangkan sukan bola baling.
“Pada jam 9.30 malam, mangsa tiba-tiba jatuh pengsan dan diberikan rawatan kecemasan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) oleh beberapa pelajar dalam sesi itu yang mahir dan arif serta ahli Pertolongan Cemas St John Ambulance Malaysia bertauliah.
“Pihak Felo Blok C1 turut dihubungi yang kemudian memaklumkan Ketua Pengawal sebelum memanggil,” katanya
Sebaik pengsan, pelajar terbabit dikejarkan ke hospital dengan diiringi felo dan pegawai hal ehwal pelajar selain perkara itu turut dimaklumkan kepada ibu saudara mangsa.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam.
“Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Rahmad berkata, beliau difahamkan segala urusan berkaitan termasuk pengebumian dan kebajikan arwah diuruskan pihak kolej.
“Jenazah akan dikebumikan di Petaling Jaya, Selangor,” katanya.