KUALA LUMPUR: Mesyuarat jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk tidak menetapkan garis panduan untuk umat Islam ke majlis atau upacara bukan Islam di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, selama ini umat Islam sudah maklum hal berkaitan akidah, malah mematuhi peraturan ketika hadir ke majlis atau upacara bukan Islam di rumah ibadat bukan Islam.
“Isu ini sudah muktamad dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Tidak perlu adanya peraturan dan garis panduan. Soal garis panduan ini tidak berbangkit lagi, sudah putus pada mesyuarat Kabinet dan saya akan persembahkan pada Sultan Nazrin (Sultan Perak) kelak.
“Saya berpendapat garis panduan ini tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia. Jangan persulitkan isu ini, jangan timbulkan kerisauan dalam masyarakat,” katanya selepas hadir melawat sekitar kuil Sri Subraminyar, Batu Caves sempena sambutan Thaipusam Selasa depan, satu upacara keagamaan masyarakat Hindu di negara ini.
Anwar juga berkata sebagai negara yang didiami oleh masyarakat berbilang kaum, masyarakat tidak pernah mempunyai sebarang masalah berbangkit seperti soal garis panduan ini.
“Pelbagai kaum agama kena jaga semua pihak, hari ini saya hadir ke Batu Caves. Ini perayaan masyarakat India. Saya bukan masuk upacara agama begitu juga dengan Tan Sri Nadarajah masuk kawasan masjid untuk majlis kenduri dan sebagainya dia bukan pergi upacara agama sebaliknya hanya satu majlis.
“Jadi, saya rasa tidak perlu hendak bagi penjelasan atau peraturan garis panduan. Yang perlu orang Islam jaga akidah bahawa ada yang tidak boleh dilanggar sebaliknya bertujuan untuk menyantuni masyarakat berbilang kaum.
“Saya hadir pada hari ini di kawasan ini bagi bantu bangunkan dewan dan juga Thaipusam penting bagi masyarakat Hindu supaya kaum ini rasa selesa meraikan perayaan agama mereka nanti,” ujarnya.
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.