KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelantikan ini dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023, yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang berkelayakan.
Bagi fasa pertama, tiga syarikat yang dilantik adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd yabg beroperasi di Pelabuhan Klang, Gua Musang, dan Mersing; Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang berpusat di Rawang dan Temerloh dan Beriman Gold Sdn Bhd yang beroperasi di Kuching dan Serian, Sarawak.
Menurut Anthony, pelantikan ini dibuat berdasarkan kriteria ketat, termasuk keupayaan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, status syarikat sendirian berhad, serta pemilikan tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan syarikat turut mengambil kira lokasi yang dipohon, selari dengan senarai lokasi perkhidmatan PPKM yang telah ditetapkan MOT.
Hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih sesuai untuk operasi berdasarkan keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah, serta zon guna tanah yang telah dirancang oleh PLAN Malaysia.
“Pelantikan ini meliputi kawasan di Semenanjung Malaysia (Wilayah Tengah, Timur, dan Selatan) serta Sarawak (Borneo),” katanya dalam sidang media hari ini.
Anthony turut memaklumkan bahawa sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan permohonan dalam fasa pertama yang dibuka dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2024.
Bagaimanapun, hanya tiga syarikat terpilih kerana memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa syarikat yang gagal adalah disebabkan ketidakpatuhan terhadap keperluan utama atau konflik kepentingan, seperti terlibat dalam perkhidmatan pembaikan, jual beli, atau pengubahsuaian kenderaan.
Syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan diberikan tempoh 24 bulan untuk melengkapkan pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan, serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Sepanjang tempoh ini, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan ketat bagi memastikan pematuhan kepada standard operasi PPKM.
“Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat memenuhi semua keperluan peraturan dan bersedia untuk beroperasi,” katanya.
Bagi memperluaskan lagi perkhidmatan PPKM, MOT akan membuka permohonan bagi Fasa Kedua bermula 1 Mac hingga 31 Jun 2025. Syarikat yang gagal dalam fasa pertama, serta mana-mana syarikat lain yang berminat, dipelawa mengemukakan permohonan.
“Kami menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan yang berkelayakan, terutama yang mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan, untuk menyertai fasa seterusnya,” tambahnya.