Kontrak Nazri Aziz Sebagai Duta Besar AS Tamat Esok

KUALA LUMPUR: Nazri Aziz mengesahkan kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), akan tamat esok.

Ia selepas dua tahun beliau berkhidmat di Washington.

Nazri, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas menyatakan tempoh pelantikannya hanya untuk dua tahun memandangkan beliau adalah lantikan politik bukan diplomat.

“Jadi esok hari terakhir dan saya telah buat persiapan untuk balik Malaysia 14 Feb depan iaitu seminggu sebelum visa saya mati,” katanya menurut FTM pada Jumaat.

Bekas menteri pelancongan itu turut menolak jika namanya dicadangkan Putrajaya untuk meneruskan khidmatnya di negara Uncle Sam berkenaan kerana ingin membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang PRU16.

“Tak boleh saya nak tolong PMX…kalau saya di AS sahaja kena balik 2027 (jika kontrak disambung dua tahun) PRU dah terlepas.

“Saya tak peduli orang lain dan akan bantu dia…bukan bertanding (sebagai calon pada PRU16),” katanya.

Nazri mula memegang jawatan itu sejak 9 Feb 2023 dan dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara menurut Kementerian Luar Negeri.

Beliau berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta menteri pelancongan dan kebudayaan (2013 hingga 2018).

Cakap-cakap pengganti Nazri mula timbul hari ini dengan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan Putrajaya sebagai duta besar baharu Malaysia ke AS, termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

BBerkaitan

Latest articles