KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan (MyCC) sedang giat menyiasat 13 kes dakwaan kartel tipuan bida membabitkan 561 perusahaan dengan nilai RM2.3 bilion, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, bermula 2024, MyCC menggunakan strategi khusus bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap satu daripada cabang aktiviti kartel sejak sekian lama, iaitu pakatan tipuan bida.
Beliau berkata ikhtiar mengekang aktiviti itu penting bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan mengutamakan kaedah tender dalam tadbir urus perolehan telus untuk memperkukuh tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Tindakan yang telah diambil kerajaan ke atas syarikat melaksanakan amalan antipersaingan, mencerminkan komitmen kerajaan mewujudkan ekosistem persaingan sihat dalam pasaran.
“Ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan munasabah serta perkhidmatan kompetitif demi kepentingan pengguna,” katanya menurut Bernama pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) serta jumlah siasatan yang membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan berjaya dari 2014 hingga 2024.
Antara sektor terbabit tender tipuan bida ialah perkhidmatan, utiliti, pembinaan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat.
Beliau berkata, sejak Akta 712 berkuat kuasa, MyCC sebagai badan bebas dan separa kehakiman menyiasat 339 perusahaan terbabit pelbagai industri, antaranya pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian serta perolehan awam.
Armizan berkata hasil siasatan itu, MyCC mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran bawah Seksyen 40 Akta 712 membabitkan 14 kes dan 259 perusahaan.
“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat aktiviti kartel dan dua perusahaan menyalahgunakan kedudukan monopoli.
Semua keputusan tersebut menghasilkan penalti kewangan RM571.5 juta.”
Menjawab soalan tambahan Leong berhubung langkah kerajaan memperkasa Akta 712, beliau berkata, kementeriannya dalam proses meminda akta itu, khasnya dalam konteks memperkukuh dan memperkemas proses penguatkuasaan serta memperkenalkan Rejim Kawalan Penggabungan.
“Draf pindaan tersebut diluluskan Pejabat Peguam Negara dan kementerian sedang membuat edaran kepada kementerian lain untuk ulasan. Insya Allah kita mengharapkan di akhir sesi ini, sekurang-kurangnya kita dapat membuat bacaan kali pertama.