KUALA LUMPUR: Seramai 435 rakyat Malaysia berdepan kemungkinan diusir dari Amerika Syarikat (AS) selepas menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Mereka termasuk dalam kumpulan 1.44 juta individu yang kini berada dalam doket bukan tahanan ICE, menurut data operasi penguatkuasaan agensi tersebut yang dipetik oleh Harian Metro.
Arahan pengusiran dikeluarkan selepas Donald Trump dilantik sebagai Presiden AS untuk penggal kedua.
Bagaimanapun, ICE menjelaskan bahawa individu yang menerima arahan tersebut masih boleh mendapatkan perlindungan di AS melalui permohonan suaka sebagai pelarian atau di bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, Washington tetap mengharapkan negara asal bersedia menerima kepulangan rakyat mereka. Menurut ICE, kekurangan kerjasama daripada kerajaan asing sering melambatkan atau menghalang proses pengusiran.
Agensi itu turut menggesa kerajaan asing untuk mengesahkan kewarganegaraan rakyat mereka dan segera mengeluarkan dokumen perjalanan yang diperlukan. Negara yang gagal berbuat demikian boleh dikategorikan sebagai “tidak bekerjasama” atau “berisiko tidak mematuhi.”
Pada masa ini, 15 negara, termasuk China, India, dan Pakistan, disenaraikan sebagai tidak bekerjasama, manakala 11 negara lain, seperti Vietnam dan Iraq, dianggap berisiko gagal mematuhi arahan pengusiran.
Dalam perkembangan berkaitan, parti Republikan menegaskan bahawa pengusiran berskala besar perlu dilaksanakan, dengan alasan bahawa berjuta-juta pendatang asing memasuki AS secara haram semasa pentadbiran Presiden Joe Biden.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa pihaknya menyedari laporan mengenai pengusiran rakyat Malaysia, namun kedutaan Malaysia di Washington belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa AS.
“Tiada permintaan rasmi untuk bantuan konsular daripada mana-mana rakyat Malaysia yang menerima arahan akhir pengusiran,” kata jurucakap Wisma Putra.
Pihak kedutaan dan konsulat Malaysia di AS akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta komuniti Malaysia bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dan pematuhan terhadap peraturan imigresen dipatuhi.