Jurutera Maut Dalam Nahas Helikopter Di Bentong

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa sebuah helikopter Bell 206L4 dengan nombor pendaftaran PK-ZUV terlibat dalam kemalangan di tapak pendaratan berhampiran Bentong, Pahang, hari ini pada jam 10.26 pagi.

Helikopter yang dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja udara.

Maklumat terakhir yang diterima oleh Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 10.18 pagi menyatakan bahawa helikopter itu dalam perjalanan kembali ke tapak pendaratan.

Kemalangan tersebut mengorbankan seorang kru darat, manakala juruterbang dilaporkan selamat.

Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016, Bahagian XXVI.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBK I Haznan Basir, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.39 pagi.

Menurut beliau, seorang jurutera warga Indonesia, Pinsan Rizky, meninggal dunia selepas terkena bilah kipas helikopter, manakala juruterbang, Kustiyadi, terselamat.

Pasukan JBPM yang tiba di lokasi mendapati helikopter tersebut telah terbakar sepenuhnya ketika berada di darat.

Insiden itu berlaku berhampiran kolam air panas di Jalan Lama Kuala Lumpur, Bentong, Pahang.

BBerkaitan

Latest articles