PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab dan agensi penguatkuasaan untuk siasat berhubung dakwaan salah laku dalam pemberian projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Zaliha berkata, kementerian juga akan memberi kerjasama penuh tanpa melindungi sebarang fakta atau pun siasatan.
“Kita biarkan siasatan berjalan dan saya tidak mahu komen lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Wujud.
Sabtu lalu Zaliha dilaporkan berkata siasatan perolehan projek di bawah DBKL dijangka disiapkan minggu ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini memaklumkan SPRM sedang meneliti semua dokumen diterima daripada DBKL berkait dakwaan tersebut.
Azam berkata pihaknya masih belum membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu, namun penelitian menjurus kepada isu rasuah serta tadbir urus.