Putrajaya — Malaysia hari ini menyatakan pendirian tegasnya menolak sebarang cadangan yang berpotensi membawa kepada pemindahan atau pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Tindakan yang dikategorikan sebagai pembersihan etnik yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta bertentangan dengan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, usaha untuk mengenakan penyelesaian secara sebelah pihak dan paksaan yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka adalah tidak dapat diterima dan berpandangan bahawa langkah seperti ini hanya akan memperburuk konflik yang telah berpanjangan di rantau Timur Tengah.
Menurut Kenyataan itu, Malaysia menegaskan bahawa jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Pendekatan ini berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkeekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan seruan serupanya, seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024, agar semua negara yang masih belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah untuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Timur Tengah.
Malaysia juga menegaskan sokongannya terhadap usaha diplomatik dan multilateralisme, termasuk inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kata kenyataan itu lagi.