KUALA LUMPUR: Dua individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkait dakwaan fitnah membabitkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) serta Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan.
“Kita telah merakam keterangan dua pengadu terbabit berkenaan kes itu dan akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan dalam satu mesej yang dihantar memaklumkan ucapan terima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan di mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah pun dibuat.
Mesej itu dihantar beserta pengumuman peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan beberapa hari lepas.
Zambry dilaporkan berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Sebelum ini, ada dakwaan mengatakan hasil audit universiti tersebut menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd Ekhwan.