RIYADH: Arab Saudi sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Arab Saudi menegaskan bahawa pendirian kerajaan mengenai isu tersebut adalah jelas, teguh, dan tidak akan berubah.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai antara Israel dan Arab Saudi adalah sesuatu yang boleh direalisasikan. Netanyahu menyampaikan pandangan tersebut dalam sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di White House, Washington, pada Selasa.
“Saya percaya perdamaian antara Israel dan Arab Saudi bukan sahaja mungkin, tetapi ia akan berlaku,” kata Netanyahu, sambil menegaskan komitmen beliau dan Trump untuk merealisasikan matlamat itu.
Dalam sidang media yang sama, Trump turut mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin-pemimpin Asia Barat mengenai cadangan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza, dan mendakwa bahawa idea tersebut mendapat sokongan.
Namun, sehari sebelum itu, lima Menteri Luar negara Arab bersama seorang pegawai kanan Palestin telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, untuk menolak sebarang cadangan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza.
Surat tersebut ditandatangani oleh Menteri Luar Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta penasihat Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh.
Ia susulan mesyuarat diplomatik tertinggi di Kaherah pada hujung minggu lalu, di mana negara-negara Arab menegaskan pendirian tegas mereka menolak sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin.