KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 25 tahun yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan membakar kereta milik isterinya selepas menghalang kenderaan itu di Jalan Tebrau, semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 10.20 malam, dan mangsa telah membuat laporan polis pada jam 1.33 pagi tadi.
Insiden tersebut menjadi tular selepas rakaman video berdurasi 28 saat tersebar, menunjukkan sebuah kereta Toyota Vios milik seorang wanita berusia 21 tahun disimbah petrol sebelum dibakar.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan. Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki Toyota Vellfire selepas melakukan perbuatan tersebut.
“Empat individu, termasuk tiga wanita yang berada dalam kenderaan yang dibakar, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM90,000.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.