KKM Berjaya Kurangkan Waktu Menunggu Di Klinik Kerajaan Kepada 30 Minit

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit bagi perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di klinik kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu dilakar menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.

“Kita sudah mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.

“Dari 107 klinik antara 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024.

“Awal tahun ini sahaja, ia (jumlah klinik) meningkat sebanyak 48.6 peratus dan 2025 adalah tahun pelaksanaan. Masa untuk tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Selasa.

Dr Dzulkefly ketika sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu memaklumkan, KKM menyasarkan untuk melaksanakan transformasi digital di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Ia termasuk melihat kembali semua sistem digital di KKM selain menetapkan strategi pendigitalan baharu mengikut arus teknologi terkini serta melaksana dan memantau pelaksanaan yang sudah pun dirancang.

Transformasi kesihatan digital antara fasiliti kerajaan dan swasta juga merupakan tumpuan KKM dalam meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

 

BBerkaitan

Latest articles