KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn. Bhd berkuat kuasa sejak 24 Januari lalu.
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.
November lalu, lesen syarikat pengendali pakej umrah itu digantung bermula 9 Julai 2024 sehingga 19 Januari 2024.
Penggantungan selepas pengusaha pelancongan berkenaan didapati gagal mematuhi apa-apa obligasi yang dikenakan ke atasnya atau melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah Akta 482 termasuklah memudaratkan kepentingan orang awam industri pelancongan atau ekonomi negara.
Kemudian pada Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah membenarkan tuntutan pampasan ganti rugi berjumlah RM10,000 kepada dua individu oleh syarikat itu.
Keputusan itu dibuat selepas pendengaran kes dikemukakan Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.
Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat itu didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan badal haji pada tarikh yang ditetapkan walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.