KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pekebun, penganggur dan pelayan kedai makan untuk membantu siasatan kes rogol melibatkan kanak-kanak dan remaja perempuan dalam dua kes berasingan di Jeram, semalam.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kes pertama membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dirogol bapanya.
“Polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa berkaitan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun dirogol oleh bapa di Jeram, Selangor, kira-kira jam 8.29 malam, pada Sabtu.
“Siasatan awal mendapati suspek berumur 33 tahun dan mangsa tinggal bersama bapanya ketika kejadian,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Azaharudin, mangsa memberitahu ibu kandungnya di mana bapanya telah melakukan hubungan seks dengan dirinya di Jalan Sungai Sembilang, Jeram, di sini, kira-kira jam 7 malam, semalam.
“Hasil laporan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah bertindak menangkap lelaki tersebut di tepi Jalan Sungai Sembilang, Jeram, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, hari ini.
Sementara itu, Azaharudin berkata, kes kedua pula membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol datuk dan bapa saudaranya di sebuah rumah di Batu 19, Jeram, di sini, semalam.
Azaharudin berkata, laporan dibuat datuk saudara mangsa pada jam 7.38 malam selepas remaja perempuan itu mengadu kepadanya.
“Siasatan awal mendapati datuk mangsa berusia 66 tahun merupakan seorang pengganggur, manakala bapa saudara pula, 21 tahun, bekerja sebagai pelayan restoran.
“Mangsa memaklumkan dirogol kedua-dua suspek,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek juga ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor masing-masing di sebuah rumah di Batu 19 dan sebuah restoran di Jeram, di sini, 10.30 malam dan 10.45 malam, pada Sabtu.
Menurut Azaharudin, siasatan lanjut mendapati kedua-dua kes rogol itu mempunyai hubungan persaudaraan.
“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga 7 Februari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.