SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memanggil pihak pengurusan sebuah taman tema di Shah Alam susulan insiden seorang pengunjung cedera selepas ditimpa pelampung permainan gelungsur air kaca yang terjatuh pada Rabu lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan beberapa isu berbangkit, khususnya aspek keselamatan, sebelum tarikan terbaharu taman tema tersebut dibenarkan beroperasi semula.
“Buat masa ini, operasi permainan itu dihentikan. Jika pihak pengurusan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan aspek keselamatan diteliti semula, barulah ia boleh beroperasi semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Perayaan Thaiponggal 2025 Peringkat Negeri Selangor, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan seorang pengunjung cedera selepas terkena pelampung permainan gelungsur air kaca yang jatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7, Shah Alam, pada malam 29 Januari lalu.
MBSA dalam kenyataan pada 31 Januari turut mengesahkan telah mengeluarkan sembilan notis terhadap taman tema berkenaan, termasuk tiga notis amaran pada 14 November 2024 dan satu lagi pada 19 Januari lalu.