Siasatan Salah Laku Projek DBKL RM4 Juta Dijangka Selesai Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengan seorang pelakon dan pengarah dijangka selesai minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa unit integriti DBKL akan memanggil semua pihak berkaitan, termasuk Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Afdlin Shauki, bagi melengkapkan siasatan.

“Jika Afdlin mahu menolak dan menafikan tuduhan tersebut, itu hak beliau. Namun, dari sudut tata kelola jabatan dan agensi, siasatan tetap perlu dijalankan.

“Siasatan sedang berjalan, dan saya menunggu hasilnya. Jika beliau tidak bersalah, maka tiada masalah,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Dr Zaliha berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 di Putrajaya.

Semalam, Afdlin membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau menafikan sebarang unsur salah laku dan mendakwa tuduhan itu merupakan usaha pihak tertentu untuk memburukkan namanya.

Kontroversi ini timbul selepas hantaran di media sosial pada 28 Januari mendakwa seorang Ahli Lembaga Penasihat DBKL terlibat dalam penganugerahan projek bernilai RM4 juta tanpa melalui proses tender terbuka.

Seorang pembantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menafikan penglibatan beliau dalam isu itu, menyatakan bahawa namanya disalah guna dalam dakwaan tersebut.

Hantaran berkenaan mendakwa projek penerbitan DBKL itu diberikan kepada syarikat milik ‘kroni’ ahli lembaga penasihat tersebut tanpa melalui prosedur yang sewajarnya, serta mendakwa Anwar dan Setiausaha Politiknya, Azman Abidin, mengetahui mengenai projek itu hingga mendorong pengarah DBKL mempercepatkan kelulusan.

BBerkaitan

Latest articles