KUALA LUMPUR: Anggota narkotik akan menyamar dalam mana-mana konsert besar yang dianjurkan untuk membanteras penjualan dan penyalahgunaan dadah susulan insiden kematian penonton di konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang, akhir bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata strategi ini bukan sesuatu yang baharu, namun sebelum ini tidak diumumkan kepada umum.
“Kami merancang untuk meningkatkan pemantauan bukan hanya ketika konsert berlangsung, tetapi juga meneruskan risikan bagi mengawal penjualan dan penyalahgunaan dadah.
“Sebelum ini, anggota sudah pun ditempatkan dalam konsert, cuma ia tidak didedahkan. Namun, kejadian di Bandar Sunway menarik perhatian ramai kerana melibatkan kematian penonton,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.
Pada 31 Disember lalu, media melaporkan empat individu, termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an, maut selepas disyaki mengambil ekstasi ketika menghadiri konsert Pinkfish.
Susulan itu, Polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Menurut Hussein, langkah ini diambil bagi memastikan penganjur memperketat kawalan keselamatan, terutama dalam membanteras pengedaran dadah.
“Hasil siasatan mendapati pihak penganjur konsert ambang tahun baharu Pinkfish gagal mengawal aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa polis sedang mengkaji jumlah penonton yang sesuai mengikut kapasiti lokasi konsert bagi mengelakkan lebihan had yang boleh menjejaskan kawalan keselamatan.
“Kami akan mengenakan syarat lebih ketat bagi penganjuran konsert masa depan di negeri ini dan akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat untuk memuktamadkan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan,” jelasnya.
Mengenai siasatan konsert Pinkfish, Hussein mengesahkan bahawa dua daripada tiga suspek yang ditahan kerana menjual ekstasi telah didakwa di mahkamah pada 7 dan 9 Januari lalu di bawah Seksyen 12(2) dan 15(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek ketiga pula telah dibebaskan dengan jaminan polis,” tambahnya.